Bukan Mudah Melafaz Sayang

Bukan mudah melafaz sayang. Ya, itulah sebenarnya. Bukan calang-calang orang yang mampu melafazkan sayang dalam erti kata sayang itu pada sudut luahan kata hasil dari kejujuran dan keikhlasan dari hati nan suci.

Kita seringkali terdengar sesiapa sahaja mengungkapkan sayang walhal sayangnya itu hanya pada ucapan kata dan bait di bibirnya sahaja. Ramai orang mengungkap sayang tanpa menghadirkan rasa sayang itu di dalam jiwa dan sanubari yang terletak jauh di dalam seketul daging yang amat unik kejadiaannya diciptakan Allah iaitulah hati. Boleh buat, tapi sebenarnya bukan mudah. Malah untuk melaksanakannya pun, tidak semudah saya menulis artikel ini. Perasaan sayang itu akan hadir dengan sendiri tanpa di desak-desak dan dipaksa-paksa.

Sayang kepada isteri adalah salah satu contoh konsep sayang yang tidak kesemuanya dilafazkan dan diluahkan melalui kata-kata. Malah, ada kemungkinan si isteri tidak tahu pun sejauh mana sayang suami kepada dirinya. Perasaan unik dan ajaib ini hanya dirasai oleh suami walau diluah dengan apa lafaz sekalipun, tidak mampu mewakili jumlah sebenar sayang seorang suami kepada isteri. Maka kerana itu, seorang isteri wajib dengan sepenuh jiwa dan raga supaya patuh dan taat kepada suami kerana apa yang suami tanggung dan galas adalah tidak seperti mana yang nampak pada kaca mata biasa seorang isteri. Begitu juga seorang suami, hendaklah ia juga memastikan sayang yang ada pada lubuk hatinya itu mampu diterjemah melalui pelbagai cara dan kaedah.

Sayang kepada ibu bapa juga merupakan satu sifat yang mulia dan amat di tuntut di dalam agama. Bagi anak lelaki seperti saya, walau saya sudah mendirikan rumah tangga, tanggungjawab saya terhadap mereka tidak berubah malah semakin perlu untuk diberi perhatian memandangkan usia saya yang semakin matang dan wajar membela mereka di hari mendatang. Jujurnya, memang agak sukar untuk melafazkan, ‘mak, along sayang mak…. abah, along sayang abah’ secara berhadapan (direct). Namun, perasaan sayang ini semakin saya rasai apabila kehidupan yang semakin mendewasakan kini. Maka kerana itu, sayang yang mampu saya terjemahkan kepada mereka adalah melalui amal bakti dan membantu dikala diperlukan mahupun tidak. Adalah satu perasaan yang unik apabila perasaan sayang ini menjelma di jiwa sehingga mengalir air mata…. Oh..

Originalnya, sayang tidak mudah dilafaz dengan kata-kata. Apabila ada seseorang yang amat mudah melafazkan sayang walau dia itu tiada apa-apa hubungan dengan anda, selidiklah dulu sejauh mana lafaz sayangnya itu. Bagi pasangan yang sedang dilamun cinta, belajarlah untuk bercinta dengan bijak. Sesungguhnya di dalam bercinta sebelum perkahwinan itu tidak ada kebahagiaan. Yang ada hanyalah keseronokan. Kebahagiaan akan muncul apabila ijab kabul telah berlaku. Kasih sayang akan menjelma secara automatik selepas itu…..

AlongSafa Selasa 14hb April 2009 12.35 pagi

Related posts

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.