Usah Salahkan Allah

Di suatu hari, sepasang suami isteri baru sahaja diijabkabulkan. Majlis Walimatul Urus akan berlansung pada hari itu juga bermula jam 11 pagi. Pasangan yang baru bernikah ini belum hilang debar selepas melalui majlis pernikahan, debaran seterusnya pula adalah untuk mempertontonkan diri menjadi pengantin yang menjadi perhatian semua orang.

Majlis berlansung dengan penuh meriah. Pasangan suami isteri ini berasa sangat teruja dengan majlis perkahwinan mereka. Tentu masa-masa yang akan dilalui selepas ini menjadi lebih indah dengan adanya teman dalam kehidupan. Perancangan mula di atur. Bilangan anak mula ditentukan. Beserta pelbagai lagi perancangan yang macam-macam.

Meredah dunia rumah tangga ibarat meredah badai di lautan luas. Kita tak tahu apa yang akan berlaku di lautan luas itu. Perancangan yang di atur mula tidak keruan. Anak yang dinanti-nanti belum dikurnia. Malah masalah lain mula timbul. Cabaran kehidupan datang satu persatu.

Yang Dirancang Tidak Diperoleh?

Mengapa sesuatu yang diingini tidak diperolehi? Mengapa yang diidam kerapkali tidak mampu direalisasikan? Semua ini adalah persoalan lumrah yang biasa kita dengar apabila seseorang dalam keadaan hampa dan sedih di atas sesuatu nasib yang menimpa dirinya.

Perkara paling sinonim kedengaran adalah berkaitan dengan jodoh dan rumahtangga. Pertikaian demi pertikaian wujud di dalam hati sesetengah mereka yang sampai ke satu tahap akan menyalahkan Tuhan kerana memberi nasib yang buruk kepada mereka.

Yang belum bertemu jodoh, sentiada dia mengadu dan berdoa kepada Tuhan untuk mengurniakan pasangan yang baik buatnya. Ada yang istiqamah, ada pula yang tidak sabar. Ada juga yang sudah bertemu pasangan yang serasi untuk dinikahi, tetapi wujud halangan lain seperti dari keluarga dan juga sanak saudara.

Kadangkala, yang sudah bertemu jodoh pun terus merungut dan seperti mahu menyalahkan Tuhan apabila pasangannya dirasakan tidak seperti yang dia harapkan dan yang diingin-inginkan. Pasangan yang diperoleh tampak menjemukan dan berasa tawar hati untuk bersama saban waktu kerana pada tanggapannya tersalah pilih.

Mencari Kesalahan

Ada juga yang secara terus menyalahkan Tuhan kerana tidak mengurniakan cahaya mata kepada mereka sedangkan pada tanggapannya mereka berdua taat kepada Tuhan dan sering berbuat amal kebajikan.

Manusia tidak terlepas untuk merungut dan mencari kesilapan dan kesalahan orang. Malah kesalahan Tuhan pun mahu dicari dan dijadikan alasan di atas sesuatu musibah yang menimpa. Allah swt tidak menjadikan dan mengaturkan sesuatu itu dengan saja-saja melainkan tersembunyi hikmah yang mempunyai nilai yang sangat tinggi.

Manusia yang malas dan enggan berfikir dengan pemikiran yang matang akan terus-terusan dibelenggu perasaan sering mengkritik, merungut dan menyalahkan orang lain. Namun bagi mereka yang suka berfikir dan meletakkan kesabaran yang tinggi di atas setiap perkara, sebuah ketenangan akan menjengah ke dalam hidupnya.


Seharusnya bagaimana?

Bercakap memang mudah. Menulis memang mudah. Hendak buat, masing-masing yang menanggung. Pak ustaz, tok guru, pakar motivasi itu semua memang pakar bercakap. Tapi kesusahan dan penderitaan untuk berhadapan dengan semua ini diri sendiri yang menanggung seksanya.

Memang ya!  Tapi, jika tidak bercakap, jika tidak menulis, bagaimana mahu menolong? Adakah mahu dipindahkan masalah itu kepada pakar motivasi? Adakah mahu dipinta para ustaz itu mengambil masalah mereka dan si dia hanya menunggu sehingga masalah selesai, baru diambil balik?

Tidak ada jalan keluar di atas segala permasalahan melainkan kepada Allah jua kita mengadu. Setiap masalah ada jalan keluar. Tenangkan hati dengan sentiasa melebihkan Allah terutama apabila datang ketidak puas hati dan juga terasa seperti mahu merungut-rungut. Ingat Allah cepat-cepat sekiranya terasa diri berada di luar kawalan.

Related posts

One Thought to “Usah Salahkan Allah”

  1. Salam,

    Sesungguhnya Allah maha mengetahui segala-galanya. Masalah adalah cabaran hidup. Tanpa cabaran, hidup ini longgar sahaja. cabaran menyebabkan kehidupan kita menjadi lebih menarik dengan mengikuti liku-liku jalan-jalan penyelesaian.
    Alhamdulillah.
    Membaca N3 ini sebagai tazkirah.
    salam ziarah
    mama.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.