Perjalanan Umrah 2 (Mekah)

Agak lama nak menyambung kembali rentetan perjalanan semasa mengerjakan umrah pada penghujung tahun lalu. Disibukkan dengan macam-macam urusan kehidupan.

Ok kita sambung semula.

Pada hari keempat, daripada Madinah, kami bersiap bertolak ke Mekah. Malam sebelum bertolak itu, mutawif kami Ustaz Fadly membuat sedikit taklimat berkaitan perjalanan pada keesokan harinya. Antaranya adalah lebih kepada cara mengerjakan umrah dan juga pantang larang ketika berada dalam ihram.

Saya membuat ziarah widak di masjid nabawi selepas menunaikan solat Zuhur. Selepas zuhur, makan dan kemudian mandi. Bersiap memakai pakaian ihram.

Kami berkumpul di lobi hotel Ishraq El-Madina sekitar jam 3 petang. Baru-baru ini mendengar berita hotel terbakar di Madinah. Hotel itu adalah yang kami menginap ini.

Kami kemudiannya bertolak dengan menaiki bas.

Bas berhenti di Masjid Bir Ali dan kami semua turun dan melakukan aktiviti kendiri. Solat Sunat Ihram dan seterusnya memasang niat Ihram.

Mutawif mengingatkan sekali lagi supaya menjaga pantang larang di dalam ihram seperti jangan memakai seluar dalam, jangan pakai mask, jangan pijak binatang, dan sebagainya.

Bas bergerak di atas jalan raya dan lebuhraya sambil diiringi laungan talbiah oleh kami dipimpin oleh mutawif. Terasa perasaan yang berdebar-debar dan teruja menyahut panggilan Allah untuk datang ke bumi nya yang suci Makkah Al-Mukarramah. Perasaan yang hanya dirasai bilamana talbiah itu betul betul dilafaz saat kita sedang menuju ke Baitullah. Sungguh mengharukan dan pastinya takkan dapat dilupakan.

Beberapa selang masa kemudian, mutawif berhenti memimpin bacaan talbiah. Suasana dalam bas pun mula hening. Ahli jemaah kami ramai yang tertidur. Dan saya pun turut sama mengambil kesempatan untuk melelapkan mata dan apabila tiba di Mekah nanti, memerlukan tenaga untuk mengerjakan umrah.

Seketika, bas berhenti di sebuah RnR yang keadaannya biasa sahaja. Ahli rombongan kami turun dan membeli bekalan makanan kerana perut masing-masing pun mula lapar. Ada yang makan mi segera sahaja di kedai yang terdapat di situ. Saya dan Husnaa bersolat Isyak dan Maghrib secara jamak di musolla.

Ramai jemaah dari rombongan lain yang turut singgah di RnR itu. Dengan pelbagai ragam dan aksi masing-masing. Ada juga jemaah yang memakai ihram tetapi menutup mukanya dengan mask. Cuaca ketika itu memang agak sejuk dan berangin. Mungkin jemaah itu terlupa pantang larang ihram dan saya hanya memerhatikannya sahaja.

Saya membeli roti kegemaran saya sepanjang berada di bumi Arab ini iaitu roti strawberry. Entah mengapa saya sangat sukakannya dan boleh dikatakan setiap hari saya makan roti ini.

Kami menaiki semula bas dan menuju ke Mekah. Rata-rata jemaah kembali menyambung tidur.

Sekitar jam 12 malam kami tiba di Kota Mekah Mukarramah.

Melihat pembangunan mega yang sedang berlaku, saya kurang nampak kelibat Masjidil Haram semasa di dalam bas. Bas menurunkan kami di hotel tempat kami menginap.

Mutawif mengatakan kami akan makan dahulu sebelum masuk ke bilik masing-masing. Ketika masuk ke tempat makan hotel berkenaan, tempat itu dipenuhi dengan jemaah dari India yang sangat ramai dengan pelbagai perangai. Nampak gaya, jemaah India itu kurang faham dengan tatasusila dan tingkahlaku. Dengan kotor dan macam-macam lagi. Mungkin ini ujian pertama kami di Mekah Al-Mukarramah ini apabila terpaksa berhadapan dengan karenah jemaah dari India ini yang sememangnya menguji kesabaran.

Saya juga entah tiba-tiba pada hari mahu masuk ke Mekah ini ditimpa sakit kaki yang bukan kepalang sakitnya. Kaki kiri saya sakit tanpa diketahui puncanya hingga mahu berjalan terasa amat sakit. Saya terpaksa berjalan dengan terhencut-hencut dan kadang-kadang saya tahankan sakit itu bagi memenuhi kewajipan yang ditetapkan.

Selesai makan, kami masuk ke bilik masing-masing dan membersihkan diri. Ahli keluarga kami yang belum bersolat jamak tadi menunaikan kewajipan masing-masing. Sekitar jam 2 pagi kami semua turun ke lobi hotel untuk mengerjakan Umrah buat pertama kali dalam hidup saya.

Saya bersama isteri, mak mertua dan makngah bersama 2 orang anak saya menaiki teksi. 2 buah wheel chair dibawa iaitu satu memang milik mak saya dan satu lagi pinjam hotel punya. Wheel chair itu untuk kegunaan isteri saya yang tika itu memang sedang sarat mengandung 7 bulan lebih. Ahli keluarga yang lain berjalan kaki menuju hotel bersama ahli rombongan yang lain.

Sampai di Masjidil Haram, melihat buat pertama kali halaman Masjidil Haram amatlah mengujakan. Dengan menara jam megah berdiri di hadapannya. Tetapi menara jam itu tidak berapa menarik perhatian saya.

Kami kemudiannya masuk melalui pintu nombor 1, pintu king abdul aziz. Perasaan semakin berdebar untuk memandang kaabah. Hanya Allah yang tahu perasaan ketika itu. Kami berjalan perlahan-lahan. Sayup-sayup kaabah mula kelihatan di celah-celah tiang. Kami berjalan lagi dan Subhanallah, kini kaabah berada di hadapan mata kami. Alhamdulillah betapa bersyukurnya saya dan kami semua apabila dapat sampai ke Baitullah yang selama ini hanya tergambar di mata dan minda sahaja. Kami sama-sama membaca doa tatkala melihat kaabah.

Anak saya yang dua orang itu duduk di wheel chair. Turun ke mataf dan alhamdulillah syukur pada Allah, keadaan pada masa itu agak lengang dan kami dapat menunaikan tawaf dengan sangat selesa sekali. Pertama kali bertawaf mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali, satu pengalaman yang pastinya takkan dilupakan. Kami bertawaf perlahan-lahan sambil saya menyorong kerusi roda yang dinaiki anak saya dan juga memimpin bersama isteri.

Kaki kiri saya terasa sakitnya seperti bisa mencucuk-cucuk tatkala berjalan. Bermula dari tapak kaki, naik hingga ke betis bisanya. Ketika bertawaf ini, hanya Allah yang tahu betapa peritnya menahan sakit. Tetapi, saya yakin dan percaya ini bahagian saya. Hadiah dari Allah buat saya tatkala memenuhi jemputannya di tanah suci ini. Siapalah saya untuk jejak kaki di tanah sucinya. Kaki yang sering membuat dosa dan maksiat. Allah. Tapi atas rahmatnya jua, saya dapat juga menjejakkan kaki bernoda ini di tanahnya yang mulia. Semoga saya dan keluarga diampunkan segala dosa dan sentiasa diberikan rahmat dan keampunan buat kami semua di samping rezeki dan kebahagiaan yang berpanjangan.

Selesai bertawaf, kami keluar dari mataf dan mengerjakan solat sunat tawaf. Alhamdulillah syukur pada Allah kami berjaya mengerjakan tawaf.

Cabaran seterusnya menanti kami iaitu bagi mengerjakan sai iailah berjalan dari Safa ke Marwah ulang alik sebanyak 7 kali. Kaki saya semakin sakit.

Kami memulakan sai daripada Bukit Safa. Isteri saya, saya paksa duduk di kerusi roda. Tetapi anak-anak merengek mahu naik kerusi roda juga. Akhirnya isteri saya terpaksa pangku mereka berdua. Dan ditolak oleh saya. Memang mencabar. Menolak kerusi roda yang dinaiki isteri dan dua orang anak. 3 orang anak jika mahu dikira yang dalam perut. Allah. Saya menyahut cabaran ini dengan segalanya dipulangkan pada Allah untuk menilainya.

Sai kami harungi dengan perlahan dengan kaki berdekot-dekot. Ayah mertua saya menemani perjalanan sebagai memberi semangat bagi mengharungi sai ini. Ahli keluarga yang lain sudah jauh di hadapan meninggalkan kami. Peluh membasahi pakaian umrah saya. Sai, sememangnya menguji fizikal kita. Allah Maha Mengetahui segala-galanya dan saya cuba meresapi hikmah di setiap apa yang berlaku.

Akhirnya, kami berjaya menyempurnakan sai dengan berakhir di Bukit Marwah. Kami semua pun bertahlul. Maka kami pun sudah halal dan boleh melanggar pantang larang ihram.

Selesai bertahlul, kami pun bergerak pulang. Berjalan perlahan-lahan menuju hotel dengan wajah kepenatan masing-masing yang rata-rata mengerjakan umrah buat kali pertama. Bersyukur pada Allah, saya dapat juga mengerjakan umrah yang selama ini tidak menyangka entah bila dapat datang ke bumi barokah ini.

Keluar dari masjid, adik ipar saya kehilangan seliparnya. Masing-masing dengan bahagian masing-masing. Di bumi Mekah ini, segalanya pasti ada hikmah dan pengajaran.

Kami berada di Mekah selama 6 hari. Selama 6 hari itu, saya hanya sempat membuat umrah sebanyak 2 kali termasuk yang mula-mula tadi. Mungkin jumlahnya sedikit berbanding orang lain yang mungkin dapat buat umrah 3-4 kali. Tak mengapalah. Pasti semuanya ada hikmah.

Ujian setiap pastinya berbeza-beza. Kesakitan kaki saya sememangnya membataskan pergerakan. Mahu menuju ke masjid untuk solat fardhu pun diharungi dengan penuh kesakitan. ya Allah ampunkan aku ya Allah. Dapat 2 kali umrah itu bagi saya sudah memadai dan bersyukurlah atas rezeki ini.

Semasa umrah kali kedua itu, kami lakukan selepas solat Isyak. Ketika itu banyak belalang berterbangan dan hinggap di lantai dan laluan pejalan kaki. Sememangnya sesiapa yang sedang berihram harus berhati-hati dan fokus. Tapi kadang-kadang ada juga yang terpijak. Secara tak lansung dah membunuh binatang. Allah… Kuasanya ada di mana-mana. Untuk memilih siapa yang layak ataupun tidak untuk mengejar kesempurnaan. Betapa ramai jemaah yang datang dari pelusuk dunia, tetapi entah berapa ramai yang culas melakukan perkara yang dilarang yang akhirnya ibadah menjadi sia-sia. ya Allah, Engkau yang Maha Memilih segala apa yang Engkau Kehendaki.

Semasa di Mekah, kami sempat membuat ziarah ke beberapa tempat seperti Arafah, Jabal Rahmah yang mengikut sejarahnya menjadi tempat pertemuan Adam dan Hawa, Muziam dua kota suci, Ladang Unta selain miqat-miqat yang terpilih.

Kadangkala isteri saya mengadu sakit perut dan ianya memang agak mencemaskan hati. Bimbang bersalin di Mekah. Walaupun ada hikmahnya, tetapi saya berdoa, lebih baik bersalin di Malaysia, paling tidak pun sesampainya di KLIA, baru bersalin pun tak mengapa. Alhamdulillah, semuanya dimudahkan.

Membawa anak-anak ke tanah suci juga sebenarnya menempah ujian yang dijangka. Wang-wang rial harus sentiasa disedia bagi menghadapi permintaan anak-anak di sepanjang laluan ke masjid yang dipenuhi dengan kedai menjual mainan dan juga ais krim.  Itu tak termasuk karenah dan perangai anak-anak yang pastinya memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menghadapinya.

Semasa di tanah suci, saya sempat terserempak dengan Syeikh Hasnul Diwani yang merupakan penasyid di Malaysia. Kami bertemu, bersalaman dan berpelukan seperti sahabat rapat yang dah lama kenal walhal itulah pertama kali bersua dengannya. Selain nampak dari jauh Ustaz Haryanto Rizal yang ketika itu membawa jemaahnya.

6 hari berada di Mekah, tiba lah pada hari terakhir kami dibumi suci ini. Satu saat yang pasti menghibakan dan mengharukan. Saat melangkah mahu membuat tawaf widak, betapa sedihnya mahu meninggalkan Masjidil Haram yang terkandung di dalam pelbagai hikmah dan satu perasaan yang mendalam yang amat sukar diterjemah dengan tulisan mahupun kata-kata.

Saya dan isteri dan anak-anak melangkah dengan hati yang hiba. Mengelilingi kaabah buat kali terakhir untuk musafir kali ini. Selesai tawaf widak, kami menunaikan solat sunat tawaf. Selesai semuanya, saya dan famili bergegas meninggalkan Masjidil Haram seberapa cepat yang boleh tanpa menoleh ke belakang lagi. Memang terasa mahu menoleh ke belakang melihat kaabah, melambai-lambai, tetapi ianya tidak dibenarkan.

Kami terus pulang ke hotel dengan menaiki teksi. Bersiap-siap, berkemas. Selepas makan, kami semua pun menaiki bas menuju ke Jeddah. Sebelum sampai ke Lapangan Terbang, kami singgah di sebuah masjid yang dipanggil masjid terapung di pesisir laut merah. Melihat pemandangan dan makan malam di sini.

Seterusnya kami pun bergerak ke lapangan terbang.

8.45 malam penerbangan pulang kami ke tanah air menaiki pesawat MAS.

Sepanjang perjalanan pulang, saya penuhi waktu dengan tidur kerana waktu itu sememangnya waktu tidur. Alhamdulillah sekitar jam 11.40 pagi waktu Malaysia, kami pun selamat mendarat di KLIA. Alhamdulillah syukur pada Allah atas perjalanan yang sungguh bermakna ini.

Semoga umrah yang kami kerjakan diterima oleh Allah dengan status yang mabrur dan memberi hikmah yang terbaik buat kami sekeluarga. Saya memasang niat dan berdoa untuk dapat bertandang lagi di tanah haram pada tahun 2014 ini. Segalanya kita serahkan pada Allah. Dialah yang berkuasa segala-galanya. Jika ditakdirkan tahun 2014 ini dapat saya ke sana lagi, Alhamdulillah syukur padanya.

Related posts

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.