Segalanya Sudah Ditentukan

Hidup di dunia ini sudah ditentukan Allah. Setiap inci pergerakan kita di dalam dunia ini tetap dalam pengetahuan Allah walau kita cuba bersembunyi daripadaNya. Berbuat baik Allah tahu, berbuat jahat pun Allah tahu.

Segala perilaku yang kita lakukan pasti ada timbal balik. Hatta, dalam kehidupan manusia ini sendiri adanya pepatah yang berbunyi: buat baik dibalas baik, buat buruk di balas buruk.

Sebagai seorang manusia yang bertuhankan Allah, satu-satunya tuhan semesta alam ini, satu keyakinan harus dipasakkan dalam hati manusia ini bahawa setiap apa yang kita lakukan pasti ada timbal baliknya.

Taat Dalam Alpa

Kita mentaati perintah Allah, menghindari segala suruhannya, mentaati ibu bapa dan guru, menyayangi sesama makhluk. Ini semua senarai tuntutan yang wajar dilakukan oleh umat manusia. Kesannya, timbal balik akan terjadi apabila kita dikurniakan kejayaan demi kejayaan, kebahagiaan, rezeki yang mencurah-curah dan sebagainya.

Kadang-kadang, berlaku pula fenomena campuran seumpama kopi campuran 3 dalam satu mahupun 6 dalam 1. Di sini, berlaku percampuran dalam etika kehidupan. Sebagai contoh, seseorang yang rajin bekerja, taat perintah Allah tetapi dalam masa yang sama berlaku kesempitan rezeki padanya. Apabila dikaji-kaji, rupa-rupanya insan tersebut bermasalah dengan ibu bapanya.

Ada juga kes di mana, seseorang yang alim dalam ibadahnya, baik peribadinya, tetapi dalam masa yang sama melanggar perintah Allah walaupun kecil seumpama tidak menjaga hubungan antara yang mahram, melihat maksiat, melihat aurat yang bukan mahram dan sebagainya. Akibatnya berkemungkinan Allah menyekat rezekinya, menyekat kebahagiaan rumah tangga dan pelbagai lagi.

Mengharap Panduan Allah

Hidup di dunia ini jika kita tidak meminta untuk dipandu, maka kita akan sesat pada seluruh kehidupan kita. Alangkah ruginya kehidupan kita jika dihabiskan dengan sia-sia.

Terdapat beberapa kisah yang menceritakan perihal seseorang insan yang mendapat hidayah ketika usianya menjangkau 40-an atau 50-an. Sudah pasti usia yang telah berlalu itu amatlah dikesali apabila banyak dihabiskan dengan kehidupan tanpa panduan Allah.

Untuk menyelami hakikat kehidupan ini bukan semua orang dapat menikmatinya. Tambah-tambah lagi dalam kehidupan serba mencabar di atas muka bumi yang maksiat terdapat di setiap inci ruang pelusuk bumi. Adakah seseorang manusia itu berani mengatakan bahawa ‘pada hari ini aku tidak melakukan maksiat dan dosa’ sedangkan semuanya sudah terpampang di depan mata.

Mahu lari ke mana? Tidak ada jalan lain melainkan larilah ke jalan Allah dengan memohon padanya agar dipandu seluruh kehidupan kita. Kita sedia maklum dia mengetahui apa yang telah berlaku dan akan berlaku. Dialah yang mengatur segalanya. Malah putaran bumi, planet2 dan bintang2 kesemuanya di bawah panduannya. Mengapa kita mesti mencari jalan lain untuk mengejar matlamat kita.

Setiap Peristiwa Ada Puncanya

Seringkali kita terdengar permasalahan diri kita dan sahabat sahabat kita. Masalah kewangan, rezeki yang sedikit, pergolakan rumah tangga, masalah kerja, dan macam macam lagi.

Semua yang berlaku itu pasti ada puncanya. Tidak akan ada sebab lain perkara tersebut akan terjadi dengan sendiri melainkan kita sendiri lah punca berlakunya permasalahan itu.

Jika solat lima waktu tidak dijaga, bagaimana mungkin mahu mengecapi rezeki Allah? Bagaimana mungkin mahu  mengecapi nikmat kebahagiaan yang merupakan picisan picisan keindahan syurga jika Allah pun tidak ditinggikan. Sedangkan solat lima waktu tidak dijaga, bagaimana pula dengan ibadah sunah yang lain? Ibadah harus??? Lagilah entah ke mana….

Muncul pula suara mempertikaikan ketidak adilan Allah yang membeza-bezakan taraf manusia. Sedangkan Allah lebih mengetahui apa yang berlaku. Orang yang imannya tidak seberapa mungkin akan terpacul ayat sedemikian lantaran sifat putus asa yang ada dalam dirinya.

Kembali Pada Allah

Secara kesimpulan dapat dinyatakan, buatlah yang terbaik yang diyakini terbaik untuk dipersembahkan pada Allah. Berbuat baiklah dengan ibu bapa. Jangan sampai ada sekelumit perasaan kecewa mahupun dukacita di hati mereka kerana mereka adalah ‘orang tengah’ antara kita dan Allah. Sayangi dan hargailah pasangan hidup kita. Buanglah sifat zaman remaja yang mempunyai ramai kenalan wanita (bagi lelaki) dan ramai kenalan lelaki (bagi wanita).

Dan harus diingat, untuk berjaya, untuk bahagia, untuk beroleh rezeki yang mencurah-curah, pasti sedang menunggu ujian-ujian tertentu bagi menguji sejauh mana keutuhan kita pada Allah. Mudah-mudahan Allah merahmati dan meredhai kehidupan kita. Semoga segala permintaan kita yang mendatangkan manfaat untuk diri sendiri, keluarga, agama dan ummah akan dimakbulkan olehNya.

Seharusnya kita semakin terus memperbaiki hubungan antara kita dan Allah, tempat kita bergantung harap. Di kala sedih dan gembira, kepada Dia lah kita mengembalikan setiap perasaan yang kita alami. Apabila selangkah kita rapat padaNya, beribu langkah insyaAllah rasa dekatnya Dia bersama kita. InsyaAllah.

Related posts

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.