Subuh Jumaat dan Surah As-Sajadah

Salam jumaat yang barakah. Semoga kita semua diredhai Allah disetiap masa, setiap ketika.

Alhamdulillah semakin hari kita melihat kesedaran umat Islam untuk lebih memahami dan mengamalkan ajaran Islam semakin berkembang dan bertambah baik. Kesedaran ini timbul semestinya dari keizinan Allah di samping faktor sekeliling khususnya capaian ilmu yang boleh di capai dengan mudah.

Jika dahulu, untuk mendapatkan sesuatu ilmu, harus pergi ke masjid ataupun kelas pengajian. Dan topiknya pun terikat kepada tok guru yang mengajar. Tetapi hari ini, akses ilmu boleh diperolehi dengan mudah dari pelbagai medium khususnya melalui capaian internet. Rakaman kuliah dan perkongsian ilmu boleh diperolehi dengan mudah di Channel Youtube malah boleh pilih mahu belajar ilmu apa, tuliskan sahaja keyword di petak carian, dengan mudah seseorang itu boleh belajar dari pelbagai guru yang ada di youtube.

Allah Ta’ala berfirman:

قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ يَهْدِي بِهِ اللَّهُ مَنِ اتَّبَعَ رِضْوَانَهُ سُبُلَ السَّلَامِ وَيُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِهِ وَيَهْدِيهِمْ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

“Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan . Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keridhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan Allah mengeluarkan mereka dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.” (QS.Al-Maidah 15- 16)

Alhamdulillah atas kesedaran ini dan semoga ianya menjadi asbab lebih banyak kebaikan yang akan berlaku di sekeliling kita.

SURAH AS-SAJADAH SETIAP PAGI JUMAAT

Hari ini, ramai yang telah mengetahui antara perkara sunnah pada hari Jumaat adalah membaca Surah As-Sajadah dan Suran Al-Insan pada waktu Subuh.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ، وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW membaca pada hari Jumaat di dalam solat Fajar dengan الم تَنْزِيلُ al-Sajadah dan هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا.” [Riwayat al-Bukhari (891), Muslim (879)]

Terdapat sebuah lagi riwayat yang hampir dengan riwayat di atas, juga daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كَانَ يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ، يَوْمَ الْجُمُعَةِ: بِالم تَنْزِيلُ فِي الرَّكْعَةِ الْأُولَى، وَفِي الثَّانِيَةِ هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW membaca di dalam solat Subuh pada hari Jumaat dengan “الم تَنْزِيلُ” (al-Sajadah) pada rakaat pertama. Manakala pada rakaat kedua pula “هَلْ أَتَى عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا” (al-Insan) .” [Riwayat Muslim (880)]

Berdasarkan dua buah hadith yang sahih di atas, maka jelaslah bahawasanya Nabi SAW membaca dua surah ini ketika Baginda SAW menunaikan solat Subuh atau Fajar pada hari Jumaat.

IANYA BUKANLAH SATU KEWAJIBAN

Dapat banyak diperhatikan di masjid-masjid dan surau kita, apabila subuh hari Jumaat, ramai imam yang memilih untuk membaca Surah As-Sajadah pada rakaat pertama. Ramai yang berpandangan, sujud tilawah pada waktu Subuh itu adalah Sunnah.

Harus kita amati, Rasulullah sering membaca Surah As-Sajadah dan Surah Al-Insan pada subuh hari Jumaat. Tetapi Rasulullah tidak melakukannya dengan ‘mesti’ surah tersebut pada hari Jumaat. Hari ini, ada kalangan kita yang berpendirian untuk mengejar ‘sujud tilawah’ itu hinggakan bacaan Surah Sajadah nya pun tidak lengkap. Seolah-olah menjadi kemestian pula untuk Sujud Tilawah setiap Subuh Jumaat. Ada yang tebuk dari pertengahan surah agar dapat jumpa ayat ‘sujud’ tersebut lebih awal. Ada juga yang membaca tidak sampai habis. Dan ramai juga yang rakaat pertama membaca As-Sajadah tetapi rakaat kedua tidak pula membaca surah Al-Insan.

Pada pandangan saya secara peribadi, pihak imam yang bertugas pada Subuh Jumaat boleh selang selikan bacaan surah As-Sajadah tersebut dan bukanlah di baca setiap minggu. Baca sebulan sekali pun memadai. Sebagai contoh, bacaan surah As-Sajadah Subuh Jumaat akan dibaca Jumaat minggu pertama setiap bulan. Ianya dapat memberi gambaran, membaca As-Sajadah Subuh Jumaat bukanlah satu kewajiban.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِلنَّاسِ، فَلْيُخَفِّفْ، فَإِنَّ مِنْهُمُ الضَّعِيفَ وَالسَّقِيمَ وَالكَبِيرَ، وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ لِنَفْسِهِ فَلْيُطَوِّلْ مَا شَاءَ

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu solat bersama manusia maka ringankanlah (pendekkan bacaan). Ini kerana, ada di antara mereka orang yang lemah, sakit dan tua. Dan jika salah seorang daripada kamu solat secara bersendirian maka panjangkanlah mengikut kemahuannya.” [Riwayat al-Bukhari (703)]

Oleh itu, jika ada imam-imam yang membaca artikel ini, segala apa yang dicoretkan bolehlah dinilai untuk diaplikasi dalam solat jemaah. Mengambil kira maslahah umum, kita juga mengetahui ramai juga jemaah yang sudah tua, yang uzur dan tambahan pula apabila waktu Subuh masuk lewat, ramai antara jemaah yang ingin cepat bersiap untuk pergi kerja dan juga menghantar anak ke sekolah.

Rujukan:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/655-irsyad-al-hadith-siri-ke-215-membaca-surah-al-sajadah-dan-al-insan-pada-pagi-jumaat

http://madahalinsani.blogspot.com/p/hadith-berkaitan-ilmu.html

17 Januari 2020 10.44 pagi

Related posts

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.